What's up?

  • run

    HOME

Pengalaman cabut gigi di klinik kerajaan bahagian 4 (akhir).


25 Oktober 2020, Ahad

Hari ni aku pergi ke klinik gigi lagi sebab doktor nak potong lebihan benang jahitan dan nak tengok keadaan luka jahitan tu. Aku pergi awal pagi. Pukul 7.30 dah ada kat sana. Waktu ni ramai jugak yang menunggu. Lepas buat saringan COVID-19, aku macam biasa, terus pergi ke kaunter pendaftaran, letak kad temu janji dalam kotak dan tunggu kat kerusi. Lebih kurang 2 minit, nama aku dipanggil, diberi nombor giliran dan aku terus ke bahagian pergigian.

Kat sini pun aku sorang je yang menunggu. Pesakit lain belum sampai lagi. Doktor pun masih tengah prepare bilik rawatan. Tak lama lepas tu, aku dipanggil masuk ke bilik rawatan.

Kejap je proses ni. Aku kira tak sampai 2 minit pun. Dia tengok keadaan luka dan potong lebihan benang jahitan. Luka aku belum sembuh sepenuhnya. Dalam sebulan lagi diperlukan. Doktor check takde jangkitan kuman. Cuma lepas ni aku masih lagi kena jaga makan dan berus gigi dengan hati-hati.

Lepas diberi nasihat, aku pun boleh balik ke rumah. Memang sakit pada bahagian luka tu dah hilang. Kalau difikirkan, aku just sakit dalam masa 3 atau 4 hari. Mungkin sebab kesan luka lepas gigi dicabut tu masih kuat. Tapi bila masuk hari ke-5, dah tak rasa sakit. Cuma bila nak berus gigi dan terkena tempat luka tu memang akan rasa sakit sikit. Tapi overall, takde masalah dah.

Alhamdulillah. Lega. Aku harap lepas ni takde apa-apa masalah lagi. Bila gigi aku dicabut, aku rasa aku lebih menghargai gigi-gigi ni. Harap dapat istiqomah dalam memberus gigi dengan betul.

Kos: RM0 untuk pendaftaran

Pengalaman cabut gigi di klinik kerajaan bahagian 3.


18 Oktober 2020, Ahad

Aku ke klinik dalam pukul 8 pagi memandangkan temu janji aku pukul 8 pagi. Orang ramai kat kaunter pendaftaran tapi aku sorang je pesakit yang ada kat bahagian pergigian. Mungkin aku pesakit pertama hari ni.

Bila masuk bilik rawatan, terus doktor sambung cabut akar gigi yang tertinggal tu. Doktor yang sama. Kali ni azab sikit. 6 bius diberi. Masa bius ke-4, aku masih lagi rasa sakit kat bahagian akar gigi tu. Doktor pun bingung memikirkan. Bius ke-5, doktor suntik kat bahagian yang sakit tu. Tapi masih lagi sakit. Sakitnya tu macam luka yang dicucuk-cucuk dengan besi. Rasa sakit dan ngilu serentak.

Lepas bius ke-5, doktor tu mintak nasihat daripada doktor perempuan yang ada kat situ. Dia inform masa cucuk tu, air bius yang meleleh keluar tu jangan disedut (guna penyedut yang biasa doktor guna masa nak cuci gigi tu). Biarkan air bius tu bertakung sementara kat kawasan yang sakit tu.

Jadi, doktor gigi aku ni pun suntik ubat bius betul-betul kat bahagian yang sakit. Nauzubillah. Memang sakit teramat sakit. Dia kata, kena suntik kat tempat sakit tu baru ubat bius berkesan. Dan Alhamdulillah, memang berkesan. Memang dah tak sakit tapi kebah je rasa. Dan operasi mencabut gigi pun bersambung.

Part ni boleh nampak doktor dah nak give up. Sebab memang payah nak keluarkan akar gigi tu. Dia kata, kalau memang tak dapat nak keluarkan, aku kena refer hospital. Mungkin kena jumpa pakar. OMG. Aku tak nak. Aku tak nak masuk hospital. Leceh dan comfirm ambil masa yang sangat lama untuk buat temu janji.

Tapi, lepas berhempas-pulas, akhirnya berjaya jugak akar gigi ni dikeluarkan. Alhamdulillah, aku happy, doktor happy dan nurse pun happy. Doktor tunjuk kat aku akar gigi tu. Memang besar. Mungkin sebab tu kot payah nak keluarkan. Lepas tu, gusi aku dijahit sebab nak tutup ruang yang besar kat gusi tu.

Ubat ulser mulut. Doktor bagi sebab kat area bibir aku ada ulser.

Dah settle? Belum lagi. Next appointment aku minggu depan. Doktor mintak aku datang sebab nak buang lebihan jahitan tu. Lepas diberi ubat dan kapas, aku pun balik. Sampai je rumah, aku terus mandi. Tapi dokor pesan jangan berkumur sebelum pukul 3 petang sebab tak nak bagi bleeding lagi teruk. Lepas tu, aku makan snek sikit, dan terus makan ubat tahan sakit. Waktu ni memang rasa berdenyut-denyut bahagian jahitan tu. Oleh sebab aku tak nak rasa lagi sakit, aku pun terus tidur.

Tips dari doktor:
  • Jangan makan pedas.
  • Elakkan minum air panas. Lebih afdhal minum air sejuk.
  • Berus gigi dengan perlahan.
  • Makan ubat antibiotik ikut jadual.
  • Makan ubat tahan sakit bila perlu.

Kos: RM0 untuk pendaftaran, RM15 untuk jahitan

Pengalaman cabut gigi di klinik kerajaan bahagian 2.


8 Oktober 2020, Khamis

Aku datang lewat sikit. Dekat 12 tengah hari. Kali ni memang tak sama dengan sebelum ni. Ruang menunggu di kaunter pendaftaran kosong. Takde pesakit yang datang. Penjaga kaunter cakap memang hari khamis kurang orang datang. Aku tak tahu sebab apa.

Aku tak perlu tunggu atau ambil nombor giliran sebab memang takde orang. Aku sorang je yang ada. Lepas tu, aku terus pergi ke klinik gigi kat belakang tu dan dalam tu pun memang ada nurse je yang jaga kaunter plus doktor-doktor yang mengira detik untuk rehat tengah hari.

Tak lama pun aku tunggu. Aku dipanggil masuk ke bilik rawatan untuk cabut gigi. Kali ni doktor lelaki. Lepas sesi Q&A, aku diberi 2 suntikan bius. Bius pertama untuk bagi tak sakit masa proses cabut gigi nanti. Dan bius kedua untuk elakkan darah keluar banyak bila gigi dicabut. Sakit? Ya, bius kedua tu sakit sikit. Tapi dalam beberapa saat je sakit. Lepas tu dah kebah.

Bila doktor goyang-goyang gigi aku ni, memang bergoyang-goyang sekali kepala aku! Tak sakit tapi rasa tak selesa sebab risau tools yang doktor guna tu tercucuk lidah atau pipi aku. Seriau. Lama jugak dia bertungkus-lumus cabut gigi geraham kekal aku ni. Memang payah sebab gigi ni dah pecah dan sebelah gigi tu takde bahagian atas untuk dipegang.

POP!! Gigi aku patah masa doktor cuba cabut. Doktor berjaya keluarkan separuh gigi saja. Separuh lagi yang tinggal akar tu terbenam kat dalam gusi. Dia cuba keluarkan sedaya upaya tapi tak boleh jugak. Hampir pukul 1. Doktor mintak aku datang semula (temu janji) dalam masa 10 hari lagi. Kalau ikutkan, lama lagi dia nak letakkan aku, tapi sebab kes aku ni kes yang boleh dikatakan emergency, jadi aku dimasukkan kat slot yang kosong secepat mungkin.

Kapas, ubat tahan sakit dan paracetamol.

Bila balik rumah, aku makan sikit dan terus telan ubat tahan sakit. Sebijik je. Bahagian gigi tu tak sakit, tapi bila berlanggar dengan gigi atas, rasa memang nak bagi penampar. Aku kena bertahan dalam masa 10 hari ni. Gigi yang problem ni belah kanan. Aku kunyah makanan belah kiri.

Paling tak best bila nak gosok gigi. Aku rasa ada sesuatu melekat kat gusi gigi yang problem tu, tapi tak berani nak usik sebab risau bleeding dan terkena infection. Waktu berus gigi tu, aku akan elakkan berus kat serpihan gigi yang problem tu. 3 hari je rasa pedih. Lepas tu ok.

Kos: RM1 untuk pendaftaran

Pengalaman cabut gigi di klinik kerajaan bahagian 1.


Seingat aku, ini lah kali pertama aku cabut gigi selepas berdekad lamanya. Kali terakhir aku cabut gigi, waktu tu aku darjah 5. Aku ingat lagi yang aku redha je masa doktor gigi suntik ubat bius kat gusi. Sakit beberapa saat masa ubat tu masuk dalam gusi, lepas tu ok, tunggu masa untuk gigi dicabut je.

Kali ni aku nak kongsi pengalaman aku pergi cabut gigi di klinik gigi kerajaan. Klinik gigi ni dekat je, dalam 5-8 minit naik kereta. Memandangkan gigi geraham kekal aku sakit tiba-tiba dalam beberapa hari, aku plan nak pergi klinik untuk cabut.

Gigi aku ni bukan berlubang, tapi pecah. Aku tak tahu sebab apa. Rasanya dari awal tahun 2019 lagi dah macam tu. Waktu tu aku pergi klinik gigi Putrajaya. Plan nak cuci gigi je. Tapi doktor perasan gigi geraham kekal aku ni pecah. Dia pun bagi tampalan sementara.

Apa yang aku perasan, hampir setiap bulan gigi aku ni sakit. Sakitnya bila aku minum air bergula macam air teh atau sirap. Kalau minum air teh campur susu ok je tak sakit. Tapi kalau campur gula, memang jadi sakit. Jadi, aku elakkan minum air macam tu.

5 Oktober 2020, Isnin

Aku pergi ke klinik gigi dalam pukul 10 pagi. Sampai sana kena scan QR code guna app MySejahtera kat kaunter saringan. Lepas tu, nurse akan bagi tag, kepilkan IC sekali dan pergi ke kaunter pendaftaran. Kat sini dalam 10 minit jugak aku tunggu. Tak ramai sangat orang kalau nak dibandingkan dengan di Putrajaya tu.

Nama aku dipanggil dan diberi nombor giliran untuk masuk ke bahagian pergigian. Klinik gigi ni bergabung sekali dengan klinik kesihatan dan bangunan klinik gigi kat belakang sekali. Waktu dalam bangunan klinik gigi ni, aku dan nurse je yang ada kat ruang menunggu. Memang terkejut jugak. Dalam hati aku, terfikir jugak, orang-orang kampung ni memang pandai jaga gigi ke?

Dalam 10 minit (sebab doktor tengah buat rawatan kat pesakit lain), giliran aku masuk bilik rawatan. Doktor perempuan yang ada. Dia tanya aku beberapa soalan pasal gigi aku termasuk sama ada aku makan apa-apa buat ke tak sebelum datang. Aku jawab aku makan panadol semalam sebab sakit gigi tak boleh tidur.

Doktor tu pun mintak aku datang semula hari khamis sebab apa yang aku faham dari apa yang dia cakap, kena tunggu 24 jam selepas aku telan panadol tu, baru boleh buat rawatan. Mungkin dia risau nanti ubat bius tak berkesan. Jadi, aku pun balik lah dengan perasaan kosong, harapnya bila datang semula nanti, semuanya baik-baik je.

Kos: RM1 untuk pendaftaran