Throwback: Tamatnya riwayat Kreko dan Arena Komik.


Kisah Kreko


Untuk pengetahuan, Kreko ni sebuah majalah kompilasi komik Jepun yang diterjemahkan ke dalam BM. Maksudnya, dalam Kreko ni, ada beberapa buah komik bersiri. Setiap komik tu ada dalam beberapa muka surat (biasanya 8 muka surat). Selain himpunan komik, ada jugak info berkaitan Jepun.

Kreko ni asalnya Komik Remaja. Lepas beberapa buah majalah ni diterbitkan, nama Komik Remaja tu ditukar menjadi Kreko. Aku mula kenal Kreko masa bulan puasa tahun 2003. Waktu tu aku dan kakak aku singgah kat satu kedai dekat perhentian bas. Masa nak beli air, ternampak pulak satu bundle majalah dalam pack yang ada 5 ketul buku. Stok lama yang dijual murah. RM5 satu bundle tu.

Bermula dari situ lah aku dan kakak aku mula menghayati keseronokan baca manga (komik Jepun) dan segala mak nenek info berkaitan Jepun sama ada hiburan, pendidikan atau sosial. Walaupun tak selalu beli, tapi bila ada peluang (dan duit), memang akan aku beli jugak.

Awal 2000, bukan idol Kpop yang digilai remaja. Tapi Jpop ye. Dari lagu, drama sampai lah filem. TV3 pernah tayang beberapa drama Jepun sebelum kemunculan drama Korea legend Winter Sonata. Antaranya drama Hero, Kindaichi, Power Office Girls dan banyak lagi.

Dulu Kreko tak silap hanya diterbitkan dua kali sebulan. Tak lama lepas tu, bila dah banyak sangat siri manga dalam satu majalah tu, Kreko pun diterbitkan sebanyak 3 kali sebulan.

Kisah Arena Komik


Aku mula kenal Arena Komik (adik Kreko) masa nampak iklan dalam Kreko tahun 2005. Masa tu aku order secara pos. Belum ada sistem online waktu tu. Aku siap tulis dalam surat dan bila surat tu diterima, aku mintak staff call nombor telefon yang aku bagi (nombor kakak aku). Dan staff tu memang call. Untuk confirm yang surat aku dah sampai sana.


Tak lama lepas tu, dapat lah aku Arena Komik isu pertama yang ada gambar karakter manga Pretty Face. Punya lah excited bila sampai kat rumah. Manga yang ada dalam tu pun sangat best terutamanya Hikaru no Go (favourite aku). Lepas tu, tiap-tiap bulan aku beli.

Tak silap aku, aku stop beli Kreko lepas aku mula jatuh cinta dengan Arena Komik. Bagi aku, manga dalam Arena Komik lagi menarik. Sebab majoriti berkisarkan pasal Shoujo (manga perempuan) dan cerita pun tak berat. Kreko pulak lebih kepada Shounen (manga lelaki).

Tahun 2006, aku stop beli segala jenis komik. Aku stop baca komik sebab nak fokus kat peperiksaan. Walaupun hati tak tahan nak beli tapi aku tetap gagahkan diri. Sebab aku sedar yang result akademik aku makin merosot bila asyik baca komik.

Kejatuhan Kreko dan Arena Komik


Julai tahun 2011, Arena Komik ditamatkan penerbitan secara rasmi. Kenapa? Aku tak pasti. Mungkin waktu tu, kebanyakan manga terkini boleh diakses secara mudah kat Internet. Tak perlu nak tunggu lama kehadiran Arena Komik atau Kreko. Pembaca dah tak kisah sama ada dalam BM atau BI. Aku ingat lagi, kawan aku selalu baca manga online. Katanya lagi cepat boleh tahu cerita seterusnya.


November 2019, tamat sudah riwayat Kreko setelah lebih 20 tahun kat pasaran. Sebenarnya, aku pun tak sangka Kreko mampu bertahan selama tu. Sedangkan Ujang dan Apo? pun terkubur tahun 2015. Mana silapnya?


Bilangan penerbitan yang kurang sesuai


Kreko pernah diterbitkan sebanyak 3 kali sebulan. Diulangi. 3 kali sebulan. Harga pun RM4.50 seketul. Jadi, setiap bulan kena spend RM13.50 untuk 3 isu. Tu belum termasuk edisi khas lagi yang harga lebih mahal dari biasa.

Bagi aku yang membesar kat kawasan kampung dan duit saku yang tak banyak, sangat terasa sesak bila Kreko buat 3 kali sebulan. Lagi satu, bukan je Kreko atau Arena Komik, aku ada spend untuk beli Gempak dan Starz jugak. Rasanya lebih RM30 sebulan habis. Kadang sempat beli, kadang terlepas. Maklum lah. Nak buat langganan tahunan, takde duit pulak. 

Selain tu, aku perhati, waktu tu zaman smartphone tengah naik. Ramai yang lebih suka baca buku online berbanding baca buku fizikal. Orang-orang sekeliling aku pun memang macam tu. Katanya dapat save budget. Aku pun tak terkecuali. Lagi-lagi bila Facebook tengah naik. Game dalam tu bukan main best.

Bagi aku, kalau Kreko maintain jual dua kali sebulan, aku rasa sampai sekarang Kreko masih mampu bernafas bersama-sama pembaca dan peminat fanatik Kreko. Sayang. Sebab tu satu-satunya majalah yang ada pelbagai manga terbaru yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Bukan industri komik makin jatuh. Tapi mungkin strategi pemasaran yang kurang tepat. Fokus kepada siapakah Kreko dan Arena Komik? Pelajar sekolah? Pelajar IPT? Remaja? Awal remaja? Kanak-kanak? Atau golongan dewasa?

Bukan dua majalah ni je yang terkesan. Ujang, Apo?, Gempak, Starz, Hype dan Utopia pun memang terkena tempias teknologi skrin yang makin berleluasa waktu tu.

Cenderahati dan free gift


Apa yang aku perasan, dalam setiap komik atau majalah terbaru, kurangnya cenderahati atau free gift yang rare macam bookmark, sticker, kad dsb. Yang ada pun selalunya poster. Poster, poster, poster. Sedangkan zaman poster dah perlahan-lahan berlalu. Kalau tahun 90-an atau awal 2000, poster sememangnya jadi kegilaan. Tapi bila dah masuk tahun 2010 dan menghampiri 2020, aku tak rasa poster yang jadi keutamaan even buat collectors sekalipun.

Sekarang pun boleh tengok. Kebanyakan komik yang ada, hanya sekadar komik seketul macam tu je. Tak disertakan dengan free gift. Macam mana nak tarik pembaca untuk terus setia? Cerita yang best? Aku tak rasa macam tu. Aku dulu pun beli macam-macam komik sebab ada free gift yang rare dan limited edition. Rugi lah kalau tak beli kan? Kalau terasa kos nak hasilkan free gift tu mahal, boleh je buat sticker atau kad sekeping. Walaupun murah tapi itu lah barang rare yang hanya boleh dapat bila beli komik atau majalah.

Komik dan majalah digital bukan penyelesaian


Sejarah membuktikan komik atau majalah yang dijadikan versi digital bukan lah penyelesaian kepada masalah komik fizikal tak laku kat pasaran. Tidak sama sekali.

Majalah Gempak versi fizikal yang terkubur sampai isu 410 (Disember 2017) dan dijadikan versi digital selepas tu iaitu dalam portal Gempak KGS. Tapi hanya sementara bertahan. Tepat 30 November 2020, portal digital tu dihentikan. Tidak lagi beroperasi.


Kenapa? Apa justifikasi penutupan portal yang menghimpunkan majalah Gempak yang boleh diakses secara online? Kurang trafik atau ada masalah dari segi perlesenan? Atau kurangnya staff yang handle portal tu? Sampai sekarang, masih belum ada jawapan yang jelas. Even sepanjang pencarian aku kat Internet, tak jumpa lagi pihak diorang mention sebab sebenar portal online tu ditutup.

Bagi pendapat aku, kalau permintaan bacaan secara online tu tinggi, kenapa nak tutup? Kalau tak menguntungkan pihak diorang, boleh je buat sistem subscription. Jadi ahli. Bayar harian, bulanan atau tahunan untuk akses seluruh kandungan. Kipas-susah-mati tak fikir dua kali dah.

Pi mai pi mai tang tu


Realitinya, sehebat mana pun dunia digital, sehebat mana pun kandungan digital, bila melibatkan komik dan majalah, tetap tak boleh lawan versi fizikal. Maksud aku, jangan salahkan dunia digital menjadi penyebab komik fizikal tak laku.

Strategi pemasaran atau marketing strategi sangat lah penting. Buat lah komik dan majalah versi online setiap hari sekalipun. Kalau tak tahu marketing atau takde team kreatif yang bagus, memang kejap je lah bungkus.

Ramai yang upload versi cetak rompak (PDF) kat website? Ada. Dan ada kekurangan. Macam aku info, free gift mana? Versi cetak rompak ni sah-sah lah tak disertakan barang rare kan? Sebab tu lah kena terus hasilkan cenderahati dan free gift dalam setiap komik dan majalah.

Banyak aku tengok komik dan majalah kat pasaran yang awalnya meriah. Kemudian suam-suam kuku. Lepas tu bungkus. Penyebab? Salah satunya, takde free gift. Di awal kemunculan komik dan majalah, hampir setiap isu diberikan free gift. Lama-lama, semua tu makin kurang dan tak lama lepas tu komik dan majalah dihentikan penerbitan. Kenapa? Kurang laku? Takde orang yang sudi beli lagi?





Banyak sebenarnya usaha untuk naikkan kembali industri komik tak kira komik tempatan atau antarabangsa kat Malaysia. PTS contohnya, gigih hasilkan komik Malaysia di bawah label Komik-M. Banyak siri yang menarik macam siri Aku, Kau dan... dan jugak siri-siri komik berkonsepkan sukan. Ada tema gitu. Tak lupa jugak komik dari Asuh. Dulu banyak tekankan elemen kanak-kanak perempuan. Tapi sekarang, macam-macam genre ada. Bekazon pun mula terbitkan komik-komik lama yang dijual dalam bentuk kompilasi.

Isu akhir

Kreko #31 (21 November 2019)
Arena Komik #14 (20 Julai 2011)
Gempak #410 (Disember 2017)
epop #126 (Mac 2020)
BoBoiBoy #100 (Mac 2021)
Ejen Ali #52 (Februari 2022)

Pokok pangkalnya, marketing strategi perlu ditekankan. Kalau team marketing ni kuat dan bijak, aku pasti komik dan majalah yang terkubur suatu ketika dulu mampu bangkit semula. Utusan Malaysia pun boleh hidup semula. Takkan komik dan majalah yang pernah digilai suatu ketika dulu tak mampu bangkit?

Post a Comment

8 Comments

  1. Rajin beli Arena ni dulu sbb komik dlm dia byk yg best. Kreko ni sis baru tahu lepas beli Arena so terjebak juga sbb nk baca Naruto..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kann. Arena best sebab banyak manga yang best waktu tu. Kreko bagi saya, manga best masa isu awal-awal. Zaman Kisah Ahli Bomba, Whistle! dan Cardcaptor Sakura.

      Delete
  2. pendapat saya...pembaca zaman sekarang tak sabar macam kita dulu. baca benda bersiri ni lambat sebab kena tunggu untuk tahu sambungan. tu sebab kita tengok komik fizikal kalau keluar one whole story macam tu laku je. stigma yang sama macam orang menonton siri TV. siapa je sanggup tunggu seminggu nak tahu sambungan. lebih baik binge watch

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Ada pembaca yang tak sabar. Pulak tu zaman smartphone tengah naik dan internet laju dan murah. Jadi pemangkin untuk semua tu.

      Saya pesen suka beli buku fizikal. Sebab boleh baca tanpa perlu ngadap skrin.

      Delete
  3. Aku banyak baca Ujang dengan Apo sebab mak suka, dia yang beli haha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pulak baca yang kakak beli. Dulu tak mampu nak beli pakai duit sendiri. 😂

      Delete
  4. Lama sungguh tak membaca komik.. kalau dulu, suka baca Gila-gila dan Ujang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Komik macam ni boleh hilangkan stress dengan lawaknya.

      Delete